KAJIAN ANALISIS WACANA

ANALISIS KUALITATIF RANCANGAN SEPAHTU REUNION EPISOD 12

TAHAP PENERIMAAN
Penganalisisan teks dari segi penerimaan ini akan melibatkan penonton dalam mengenal pasti tahap sesuatu penerimaan tersebut. Tambahan pula, dalam konteks ini penonton merupakan penerima bagi sesuatu wacana. Dalam mengenal pasti tahap penerimaan yang tinggi dalam kalangan penonton, adalah apabila penonton dapat memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk lisan ataupun tulisan. Tahap penerimaan penonton juga akan tinggi jika tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. Tahap tujuan dikenalpasti melalui struktur ayat yang diujarkan oleh watak dalam rancangan tersebut. Dalam rancangan Sepahtu Reunion ini, akan melibatkan tahap pemahaman pendengaran disebabkan ia melibatkan komunikasi lisan.

Memerikan teks
Menurut Henry Guntur Tarigan dalam pengajaran bahasa (1995:77), tujuan wacana juga adalah untuk memeriksa teks serta berupaya untuk menjadikan teori wacana sebagai pegangan umum. Memerikan teks memudahkan penutur atau penulis mmahami serta memanfaatkan teks atau kelompok teks. Hal ini bermaksud, penutur dan penulis dapat menghasilkan teks apabila bertujuan untuk menghasilkan sebuah wacana berdasarkan topiknya.

Memerikan teks dalam sebuah wacana juga bertujuan untuk memudahkan penulis membuat perbandingan aantara teks-teks ataupun bahagian –bahagian teks selain memudahkan penulis melihat persamaan dan juga perbezaan yang terdapat dalam sesebuah wacan. Hal ini bermaksud seseorang penulis juga dapat menunjukkan dengan tepat dan pasti mengenai sesuatu yang mempunyai ciri khas sebuah teks tersebut dengan institusi-institusi dalam satera sekiranya seseorang penulis tersebut memeriksa sesebuah teks.

Teori wacana juga adalah sebagai pegangan umum supaya penulis yang hendak menulis sebuah wacana mengetahui tentang bentuk, struktur serta ciri-ciri yag perlu ada dalam sesebuah wacana. Hal ini bertujuan supaya sesebuah teks yang akan dibentuk menepati tujuan seseorang penulis atau penutur untuk menghasilkan sesebuah wacana yang bermakna.

Tahap penerimaan yang ditunjukkan oleh penonton tinggi pada A.3 hingga A.8. Hal ini demikian berlaku kerana penyampaian mereka berkesan menyebabkan penonton ketawa disebabkan mereka memahami apa yang cuba disampaikan oleh pelakon dalam drama tersebut. Dalam A. 18 hingga A.23 penonton ketawa kerana mereka disajikan dengan lawak daripada pelakon trsebut dimana pelakon tersebut tersalah menyebut perkataan. Dalam hal ini, penerimaan penonton tinggi kerana mereka ketawa disebabkan pelakon tersebut membuat jenaka. Dalam A.59 menunjukkan penerimaan pelakon rendah. Hal demikian kerana pelakon tersebut tidak menjawab soalan yang ditujukan kepadanya dari pelakon lain. Namun demikian, penerimaan daripada penonton berbeza. Penonton ketawa kerana mereka memahami jenaka yang disampaikan oleh pelakon tersebut.

Dalam A.98 hingga A.103, tahap penerimaan penonton rendah kerana mereka tidak membuat sebarang ayat yang jenaka. Namun demikian, pemahaman penonton tinggi kerana mereka menyampaikan maklumat yang jelas. Dalam A.146 hingga A.153 penerimaan penonton tinggi kerana, salah seorang pelakon membuat lawak secara spontan yang luar dari bidang perbincangan antara pelakon tersebut. Dalam A.235 hingga A.240 pemerian berlaku lagi apabila mereka berbincang tentang sesuatu perkara. Dalam ayat ini mereka berbincang dengan menggunakan ayat yang serius. Oleh yang demikian, tidak berlaku ketawa daripada penonton. Namun penyampaian mereka diterima oleh penonton dengan baik.

Pemerian seterusnya berlaku pada A.257 hingga A.262 iaitu penerimaan penonton tinggi kerana mesej yang disampaikan mempunyai unsur jenaka apabila perbincangan antara mereka ada diselitkan unsur lawak. Seterusnya, dalam A. 268 hingga A.273, tiada unsur jenaka dilakukan. Namun penerimaan penonton tinggi kerana mereka terlalu serius dalam menyampaikan mesej. Pemerian terakhir yang dikaji dalam drama ini berlaku dalam A.285 hingga A.287. Dalam ayatt ini penonton ketawa kerana mereka menggunakan ayat yang menyebabkan penonton ketawa kerana penyampaian mereka ada unsur lawak.

Ayat Tanya
Menurut Ahmad Khair Mohd Nor et al. (2014), ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk meminta maklumat atau untuk mendapatkan jawapan. Jawapan yang diberikan berdasarkan pertanyaan yang diajukan bukan sahaja dinyatakan dengan mengeiyakan dan menidakkan, malah ia juga boleh dinyatakan dalam satu bentuk penjelasan.

Dalam tulisan atau teks, ayat tanya dapat dikenal pasti apabila pada akhir ayat terdapatnya tanda tanya (?), manakala dalam bentuk lisan pula akan ditentukan oleh nada suara yang menaik sebelum berlakunya kesenyapan pada akhir ayat.
Dalam penulisan atau pertuturan yang melibatkan ayat tanya ini, telah dibahagikan kepada dua jenis iaitu, ayat tanya berdasarkan struktur dan ayat tanya berdasarkan jawapan yang dikehendaki. Dalam ayat tanya berdasarkan struktur, ia telah dipecahkan lagi kepada dua jenis iaitu, ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan unsur tanya. Ayat tanya dengan unsur tanya ini akan melibatkan beberapa perkataan seperti siapa, apa, bagaimana dan lain-lain, manakala ayat tanya tanpa kata tanya tidak melibatkan perkataan-perkataan tersebut.

Selain itu, ayat tanya berdasarkan jawapan yang dikehendaki juga telah dipecahkan kepada dua jenis, iaitu ayat tanya tertutup dan ayat tanya terbuka. Ayat tanya terbuka dapat menerima jawapan yang pelbagai kerana pertanyaan jenis ini tidak mengehadkan pemberi jawapan terhadap dua pilihan sahaja, namun, ayat tanya tertutup hanya melibatkan jawapan “ya” atau “tidak” sahaja.
Dalam penganalisisan yang telah dilakukan, pengkaji mendapati penutur menggunakan kedua-dua jenis ayat tanya di dalam drama ‘sepahtu reunion’. Hal ini demikian kerana, penutur ingin menunjukkan kepelbagaian teknik pertanyaan atau persoalan yang dilakukan bagi mendapatkan jawapan daripada individu yang tertentu. Hal ini juga dapat mengelakkan daripada menimbulkan situasi yang mendatar sekiranya hanya menggunakan satu jenis persoalan sahaja.

Berdasarkan A.1 dan A.3, watak yang terlibat menggunakan jenis ayat tanya berdasarkan struktur. Kedua-dua ayat tersebut menggunakan jenis ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan unsur tanya. Seperti contoh yang dapat dilihat dalam lampiran, A.1 menggunakan ayat tanya tanpa kata tanya kerana pertanyaan tersebut tidak melibatkan atau menggunakan sebarang kata tanya, namun A.3 pula adalah sebaliknya. A.3 merupakan ayat tanya dengan unsur tanya. Hal ini demikian kerana, A.3 menggunakan kata tanya mengapa dalam pertanyaan yang diajukan.

A.1 Hoi…ehem…..Angah?

A.3 Mengapa engkau menyayikan lagu yang sebegitu di pagi hari ini?

Dalam A.12 dan A.14 juga, watak yang terlibat menggunakan jenis ayat tanya yang sama digunakan pada A.1 dan A.3, iaitu ayat tanya berdasarkan struktur yang melibatkan kedua-dua jenis pecahannya seperti ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan unsur tanya. Sebagai contoh, A.12 merupakan satu pertanyaan yang tidak melibatkan kata tanya, jadi ia secara tidak langsung tergolong dalam jenis ayat tanya berdasarkan struktur, ayat tanya tanpa kata tanya. Seterusnya, A.14 pula merupakan satu pertanyaan yang melibatkan kata tanya semasa ia diujarkan. Kata tanya yang terlibat ialah apa, dan ini secara tidak langsung telah mengkategorikan ayat tanya tersebut sebagai ayat tanya berdasarkan struktur yang melibatkan unsur tanya.

A.12 Okay, sebelum kita pergi keje ni long, ye la kita kena rehat dulu apa semua, jadi long saya tengok semalam dah keluar surat khabar ye long.. semalam?

A.14 Apa… apa kes ni long?

Di samping itu, pada A.35 dan A.37, watak yang terlibat telah menggunakan ayat tanya jenis ayat tanya berdasarkan jawapan yang dikehendaki. Kedua-dua ayat tersebut apabila dilihat lebih dalam lagi merupakan ayat tanya tertutup. Hal ini demikian kerana, pertanyaan yang diajukan oleh watak kepada watak yang lain, hanya memerlukan jawapan yang memerlukan watak lain tersebut mengeiyakan atau menidakkan sahaja pertanyaan tersebut. Jadi, ayat tanya ini secara tidak langsungnya dikategorikan sebagai ayat tanya tertutup.
A.35 Ahh..ye..kamu dah lama bercutikan?
A.37 Masih ingat selok belok rumah ini?
Seterusnya, dalam A.40 dan A.88, watak dalam drama ‘sepahtu reunion’ ini telah menggunakan ayat tanya jenis terbuka. Hal ini demikian kerana, persoalan atau pertanyaan yang diajukan oleh watak yang terlibat adalah jenis terbuka, iaitu jawapan yang dikemukakan tidak terhad kepada jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ sahaja, malah boleh melibatkan jawapan yang berbentuk penjelasan juga.
A.40 Tapi kenapa pintu rumah pintu kampong?
A.88 Ayah nak ke mana?
Berdasarkan jenis ayat tanya yang telah dikaji dalam drama ‘sepahtu reunion’, pengkaji mendapati drama tersebut menggunakan kesemua jenis ayat tanya yang wujud seperti ayat tanya tanpa kata tanya, ayat tanya dengan unsur tanya, ayat tanya tertutup, dan ayat tanya terbuka. Hal ini demikian kerana, variasi yang digunakan dapat menarik minat penonton untuk melihat drama tersebut tanpa hadirnya rasa jemu dalam diri. Oleh hal yang demikian, pengkaji
dapat menyimpulkan bahawa, tahap penerimaan penonton berdasarkan ayat-ayat tanya yang digunakan adalah tinggi kerana variasi yang terdapat di dalam drama tersebut.

Ayat Penyata
Menurut Ahmad Khair Mohd Nor et al. (2014:234), ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan untuk membuat sesuatu penyataan atau memberikan keterangan tentang sesuatu. Hasil penganalisisan menunjukkan ayat penyata ialah ayat yang paling banyak digunakan untuk menyampaikan maklumat di dalam rancangan Sepahtu Reunion episod 12 yang dikaji ini. Secara keseluruhannya, sehingga 14 minit yang pertama, terdapat sebanyak 140 ayat penyata. Contoh ayat penyata yang dapat dilihat dalam rancangan Sepahtu Reunion episod 12 ini ialah seperti yang berikut:

A.4 Waw…seorang hakim berkarakter di dalam rumah ku. ( Penonton ketawa )

A.5 ( Penonton ketawa )Takde..long long, saya sayakan doktor long, itu lagu medicine.

A.7 Jadi saya kene nyanyi lagu yang kena dengan saya.

A.8 Ade kaitan dengan perubatan.

A.9 Ya…….( ilya ketawa ) tika dan saat ini adalah kena mengena dengan perubatan.( ilya dan shuib ketawa). ( Penonton ketawa )

A.27 ( Jep masuk ) ha.. ni ni jap jap long, ni aa..mustaqim…

A.29 Eh tak tak tak, saya taknak operate dia, mustaqim, selamat pagi mustaqim.

A.31 Ha… ni kita punya…. dah lama balik kampong baru datang kerja…kita punya maid,maid.

A.56 Aa….adik kita seniman!!!

Berdasarkan contoh-contoh ayat di atas, watak-watak yang berlakon dalam rancangan Sepahtu Reunion episod 12 menggunakan ayat penyata untuk menyatakan perwatakan mereka. Perwatakan Along ialah seorang anak sulung dalam keluarga dan berkerjaya sebagai seorang hakim. Buktinya dapat dilihat melalui A.4. Perwatakan Angah pula dinyatakan dalam A.5. Daripada A.5 penonton difahamkan bahawa Angah merupakan seorang doktor. Tahap penerimaan penonton juga tinggi kerana bermula A.7 hingga A.9, watak Angah menjelaskan sebab dia menyanyikan lagu kumpulan Medicine (ubat) iaitu kerana mempunyai kaitan dengan kerjayanya sebagai doktor.

Ayat penyata yang bermula daripada A.27 hingga A.31 pula bertujuan untuk menggambarkan perwatakan Mustaqim. Tahap penerimaan penonton tinggi kerana dapat memahami tujuan penyampaian melalui watak Angah yang memperkenalkan watak Mustaqim kepada watak Along. Melalui ayat penyata tersebut, Mustaqim merupakan seorang pembantu rumah di rumah itu. Berdasarkan contoh ayat A.56, penonton juga memahami bahawa watak Along dan Angah juga mempunyai seorang adik yang berpewatakan sebagai seorang seniman. Contoh ayat A.4 hingga A.56 di atas menampakkan unsur yang saling berkaitan antara satu ayat dengan ayat yang seterusnya.

Ayat penyata dalam rancangan Sepahtu Reunion juga digunakan dengan tujuan untuk menyatakan konflik yang berlaku dalam rumah tersebut. Konflik dapat difahami penonton melalui contoh ayat berikut:

A.71 Aa ini saya…Ini saya nak bagitahu kat tuan, saya dah tak sanggup jaga ayah tuan. (penonton ketawa)

A.73 Ayah tuan ni saya rasa dah nyanyok tuan.

A.74 Sebab, masa tuan takda saya nengok dia mandi dalam sinki tuan. ( penonton ketawa)

A.75 Betul.

A.76 Barangkali ada betulnya.

A.77 Kami daripada segi psikologinya, apabila seorang itu telah berusia 80 tahun keatas beliau akan mengalami penyakit ini. ( penonton ketawa)

A.82 Itulah..Itu adalah kitaran hidup sebenarnya. ( penonton ketawa)

A.83 Apabila kita berumur 80 keatas, kita akan menjadi seperti bayi kembali.

A.84 Jadi maknanya betul, dia mandi dalam sinki.

A.112 Saya rasa mungkin Mustaqim pun tak larat lagi menjaga ayah kita.
A.113 Betul.

A.114 Jadi kita kena cari seorang pembantu lagi.

Berdasarkan contoh A.71 hingga A.84, penerimaan penonton tinggi kerana penonton dapat memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan oleh kesemua pelakon. Watak Mustaqim menjelaskan bahawa ayah kepada Along, Angah dan Seniman sudah nyanyuk. Hal inilah yang menimbulkan konflik dalam episod 12 rancangan Sepahtu Reunion. Penyelesaian kepada konflik ini dapat dilihat pada contoh A.112 hingga A.114 apabila mereka semua berpakat untuk mencari seorang lagi pembantu rumah untuk menjaga ayah mereka yang nyanyuk. Tahap
penerimaan penonton tinggi kerana maklumat yang terdapat pada A.71 hingga A.84 mempunyai perkaitan antara satu sama lain.

Ayat Perintah
Menurut Menurut Ahmad Khair Mohd Nor et al. (2014:235), ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan tindakan atau gerak balas tertentu daripada pendengar. Ayat perintah sebenarnya boleh dibahagikan kepada 5 jenis. Pertama sekali ialah ayat suruhan, kedua ialah ayat larangan, ketiga ialah ayat silaan, keempat ialah ayat permintaan dan kelima ialah ayat ajakan. Dalam rancangan Sepahtu Reunion episod 12 ini juga dilihat menggunakan ayat perintah. Contohnya seperti berikut:

A.28 (mencelah) eh eh jangan operate dia!!! ( penonton ketawa)
A.44 Ehh. jangan, saya tak boleh dekat dengan hama!!! ( penonton ketawa)
A.93 Tarik nafas ayah.
A.97 Ha cuba check, cuba check
A.106 Duduk ayah.
A.132 Tolong cepat sikit Angah, Along nak pergi kerja ni.
A.138 Boleh, In Sha Allah. Aaaa ni mustaqim, tolong bawak, aaaa, abah! Abah! , masuk dalam dulu, bagi dia rehat dulu.

Berdasarkan contoh ayat di atas, terdapat penggunaan 3 jenis ayat perintah. A.28 dan A.44 merupakan ayat perintah jenis larangan. Ayat ini merupakan ayat larangan kerana mempunyai kata kunci ‘jangan’ dalam ayat tersebut. Contoh A.93 dan A.97 pula menunjukkan struktur ayat perintah jenis suruhan. Penonton dapat memahaminya apabila watak Angah menyuruh ayahnya untuk menarik nafas dan begitu juga apabila Angah menyuruh Along untuk memeriksa ayahnya bagi mendapatkan kepastian. A.106 merupakan ayat silaan yang memperlihatkan watak seniman mempersilakan ayahnya untuk duduk. A.132 dan A.138 merupakan ayat perintah jenis permintaan. Kata kuncinya dapat dilihat pada perkataan ‘tolong’ yang terdapat dalam ayat tersebut. Tahap penerimaan penonton sangat tinggi kerana penggunaan ayat perintah lebih senang dikesan apabila mengujarkannya berserta nada yang betul.

Penganalisisan data secara kuantitatif

Berdasarkan penganalisisan data secara kuantitatif dalam rancangan Sepahtu reunion, di dapati ayat penyata merupakan ayat yang paling banyak digunakan, iaitu sebanyak 140 ayat ataupun bersamaan dengan 49 peratus. Ayat penyata banyak digunakan oleh watak-watak dalam rancangan ini kerana tujuannya adalah untuk menyatakan sesuatu maklumat atau sesuatu perkara. Selain itu, ayat penyata merupakan ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu pernyataan serta mempunyai tujuan untuk menyatakan atau memberikan keterangan mengenai sesuatu perkara. Oleh hal yang demikian, ayat penyata yang banyak digunakan oleh watak dalam rancangan ini adalah untuk menerangkan sesuatu perkara kepada para penonton.

Di samping itu, ayat tanya merupakan ayat kedua terbanyak yang digunakan dalam rancangan Sepahtu Reunion ini. Hal ini demikian kerana, data menunjukkan bahawa ayat tanya dalam rancangan ini mengandungi sebanyak 47 ayat yang bersamaan dengan 16 peratus daripada keseluruhan ayat. Ayat tanya digunakan dalam rancangan ini adalah untuk menanyakan sesuatu hal bagi mendapatkan sesuatu maklumat. Hal ini adalah supaya penonton yang melihat dapat memahami tujuan dan idea yang terkandung dalam rancangan tersebut.

Selain ayat penyata dan ayat tanya, terdapat juga ayat perintah yang digunakan di dalam rancangan ini. Data menunjukkan bahawa, terdapat 12 peratus ayat perintah yang digunakan oleh pelbagai watak yang juga bersamaan dengan 34 ayat berbanding ayat keseluruhan yang terdapat dalam rancangan tersebut. Ayat perintah ini adalah untuk memberikan sesuatu arahan bagi tujuan tertentu dan ini memudahkan penerimaan dalam kalangan penonton kerana penonton akan mudah memahami maksud sebenar yang ingin disampaikan berdasarkan penglihatan mereka terhadap gerak geri watak-watak yang melakonkan.

Selain itu, watak-watak yang terlibat turut menggunakan pemerian teks dalam rancangan Sepahtu Reunion ini. Hal ini disebabkan pemerian teks digunakan supaya terdapatnya kesinambungan antara suatu dialog dengan satu dialog yang lain. Berdasarkan penganalisisan yang telah dilakukan dalam rancangan ini, terdapat hanya 4 peratus sahaja ayat pemerian teks yang digunakan, iaitu juga bersamaan dengan 11 ayat daripada ayat keseluruhan. Penggunaan pemerian teks ini jelas menunjukkan bahawa berlakunya kesinambungan dan perkaitan antara suatu dialog dengan suatu dialog yang lain. Oleh hal yang demikian, tahap penerimaan penonton terhadap rancangan ini menjadi lebih tinggi, hasil daripada variasi ayat yang digunakan yang mana akan membuatkan penonton lebih memahami maksud dan idea yang ingin disampaikan.

PENUTUP

Dengan melakukan anlisis kita dapat mengetahui tahap penerimaan penerima wacana iaitu pendengar atau penonton yang menonton drama pendek rancangan Sepahtu Reunion episod dua belas ini terhadap perkaitan teks dialog melalui perkaitan ayat demi ayat dalam bentuk dialog yang dilontarkan oleh pelakon sama ada wacana itu bermakna dan dapat difahami oleh penerima. Selepas penganalisisan dilakukan, pengkaji dapat menyimpulkan tahap penerimaan penonton terhadap rancangan Sepahtu Reunion sama tinggi dengan tahap tujuan.

Penonton dapat menerima idea dan mesej yang ingin disampaikan melalui episod 12 rancangan Sepahtu Reunion. Dalam episod ini, tujuan wacana disampaikan untuk memberikan kesedaran kepada penonton tentang kepentingan menjaga ibu bapa walau apa jua keadaan mereka kerana itu merupakan tanggungjawab setiap anak. Episod 12 rancangan ini juga turut mengaitkan dengan kesibukan anak-anak dengan kerjaya mereka menyebabkan mereka menyerahkan tugas menjaga ibu bapa kepada pembantu rumah.

Tahap penerimaan dapat dianalisis dengan melihat kepada tahap tujuan. Kriteria tahap tujuan yang dianalisis ialah seperti memerikan teks, ayat tanya, ayat penyata dan ayat perintah. Hal ini disebabkan, tahap penerimaan penonton akan dikatakan tinggi apabila sama dengan tahap tujuan. Kemudian, penonton akan menerima baik suatu ujaran wacana apabila terdapat kesinambungan sense dalam pengetahuan serta maklumat yang digiatkan dalam ujaran-ujaran tersebut.
Selain itu, penutur juga menggunakan bahasa yang mudah untuk diterima dan difahami oleh penonton. Hal ini demikian kerana, penonton mempunyai pengetahuan terhadap ujaran-ujaran dan bahasa yang digunakan, barulah tahap tujuan dan penerimaan kedua-dua pihak adalah sama.

No comments:

Post a Comment