ASPEK TATABAHASA WACANA

ASPEK KAJIAN WACANA

CIRI-CIRI WACANA

Menurut Beaugrande dan Dressler (1981:81), terdapat tujuh ciri ketekstualan yang perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang utuh, iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks. Namun menurut Asmah Haji Omar dalam artikel Jurnal Dewan Bahasa yang bertajuk “ Analisis Wacana “ pula terdapat lapan unsur-unsur penting dalam wacana iaitu:
  • ·         satuan bahasa
  • ·         terlengkap
  • ·         mengatasi ayat atau klausa
  • ·         teratur atau tersusun rapi
  • ·         berkesinambungan
  • ·         kohesi
  • ·         lisan atau tulisan
  • ·         awal dan akhir yang nyata

Menurut Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga pula, terdapat dua ciri utama dalam sebuah wacana yang utuh iaitu, kohesi (atau tautan) dan koheren (atau runtutan). Menurut beliau lagi, terdapat juga ciri-ciri yang lain termasuklah tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks atau peranan wacana–wacana lain yang membantu pendengar atau pembaca memahaminapa yang didengar atau dibaca.

Tautan atau Kohesi

Tautan atau kohesi ialah keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesebuah wacana untuk menghasilkan wacana yang mantap. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain yang terdapat dalam wacana tersebut. Tautan penting kerana tautan dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk suatu kesatuan. Kohesi juga merujuk kepada idea atau esei yang dijalin rapi hingga menjadi bersepadu.
Kohesi juga disebut sebagai organisasi sintaktik yang mana merupakan wadah ayat-ayat yang disusun secara padu dan juga padat. Perkara ini bermaksud kohesi adalah hubungan di antara ayat di dalam sebuah wacana tidak kira sama ada dari segi strata gramatikal mahupun strata leksikal tertentu. Penguasaan dan pengetahuan kohesi yang begitu baik akan dapat menghasilkan wacana yang baik.

“Tautan merupakan satu set kemungkinan yang wujud dalam bahasa untuk menjadikan suatu teks itu berkesatuan” (Halliday dan Hasan:1976)
Menurut Halliday dan Hasan lagi, "Cohesion is expressed through the strata organization of language. Language can be explained as a multiple coding system comprising three levels of coding or 'strata'. The semantic (meaning), the lexicogrammatical (forms) and the phonological and orthographic (expression). Meanings are realized (coded) as forms, and the forms are realized in turn (recoded) as expressions. To put this in everyday terminology, meaning is put into wording and wording into sound or writing."
Halliday dan Hasan telah cuba melihat tautan makna itu dari dua sudut iaitu tautan nahuan dan tautan leksikal. Kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu kesatuan teks. Selain itu, kohesi juga memperlihatkan jalinan ujaran dalam bentuk ayat bagi membentuk suatu teks atau konteks dengan menghubungkan makna yang terkandung di dalam unsur. Kohesi juga dikenali sebagai tetenunan, tautan, kepaduan dan sebagainya.

Contohnya:

  •        i.       Syazwani, Siti dan Faiznur ke perpustakaan.
  •        ii.       Mereka ke sana untuk meminjam buku.


Dalam contoh di atas, terdapat tautan antara kedua-dua ayat tersebut. Perkataan mereka dalam ayat kedua merujuk kepada Syazwani, Siti dan Faiznur, sementara sana merujuk kepada perpustakaan. Oleh itu, kedua-dua ayat yang mempunyai tautan ini dianggap sebagai wacana. Tambahan pula, kedua-dua ayat ini bermakna dan difahami.

Runtutan atau koheren

Runtutan atau koheren merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesbuah wacana sehingga menjadikan sesebuah teks itu bermakna. Oleh itu, runtutan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna.
Contohnya: Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu. Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah Negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat diatasi.

Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui perkataan Aids, gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya runtut. Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak semestinya runtut.
Contohnya: Wanita itu membeli baju baharu bewarna biru. Warna biru ialah warna kegemaran muda-mudi kini. Muda-mudi kini ramai yang menghadapi masalah sosial.

Berdasarkan teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut tidak merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak difahami. Malahan, teks tersebut tidak mempunyai kesinambungan idea atau tidak koheren. Oleh itu, untuk menghasilkan wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau runtutan.

Tujuan

Setiap wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan perlu mempunyai tujuan. Tujuan sesuatu wacana ini ditentukan oleh penghasil wacana tersebut sama ada penulis atau pembicaranya. Sesuatu wacana perlu mempunyai tujuan untuk menimbulkan interaksi yang komunikatif. Tujuan ini akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Jika tujuan seseorang adalah untuk mendapatkan maklumat, ayat yang sering digunakan ialah ayat Tanya, tetapi jika seseorang itu ingin menyatakan atau menerangkan sesuatu, ayat yang digunakan ialah ayat penyata.

Penerimaan

Sesuatau wacana sama ada lisan atau tulisan, perlu mempunyai pendengar atau pembaca. Pendengar dan pembaca merupakan penerima sesuatu wacana. Tahap penerimaan seseorang itu tinggi jika pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Oleh itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan.

Maklumat

Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat baharu. Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan terdahulu. Maklumat baharu pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.

Contohnya:

  •        i.       Puan Rita mengajar di sekolah menengah.
  •        ii.       Sekolah itu sekolah berasrama penuh.


Sekolah itu dalam ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Sekolah berasrama penuh ialah maklumat baharu kerana baru disebutkan dalam ayat itu.

Keadaan

Keadaan ialah latar sewaktu bahasa itu digunakan, dan membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan “Sila masuk”, misalnya, difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seorang lain masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Dalam kehidupan sehari-hari terdapat pelbagai jenis latar, misalnya latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar tempat membeli-belah, latar berekreasi, latar beribadat, dan bermacam-macam lagi. Setiap latar menghasilkan wacana tersendiri.
Setiap wacana perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara amnya yang akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal. Gaya formal, contohnya, wujud apabila seseorang guru pelatih berkomunikasi dengan pensyarah, murid atau pelajar berhubung dengan guru. Gaya tidak formal adalah gaya yang wujud dalam hubungan biasa antara rakan. Hubungan ini menghasilkan kesan dialek sosial dalam pertuturan.

Wacana harus ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika tujuan penutur adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan , jenis ayat yang terbentuk ialah ayat perintah. Begitu juga jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat Tanya. Sesuatu wacana mesti berdasarkan kaitan antara penutur dengan pendengar dalam bahasa lisan dan penulis dengan pembaca dalam bahasa tulisan. Tiap-tiap wacana tidak boleh dimansuhkan maklumat yang bertentangan dengan maklumat yang terdapat dalam ayat sebelumnya.

Contohnya: 
“Kelmarin dia tidur sehari suntuk.” “Kelmarin dia tidur sehingga jam 9.00 pagi.”

Dalam wacana perlu ada unsur-unsur susun atur menurut sebab, akibat, tempat, waktu, keutamaan dan sebagainya. Tegasnya, ayat-ayat itu harus mempunyai urutan yang berkait rapat.

Misalnya:
“Cikgu Shafie mengajar dengan penuh dedikasi.” “ia mendapat pujian daripada guru besar.”

Setiap wacana harus mempunyai andaian dan inferensi. Maklumat pertama dalam wacana digelar andaian manakala maklumat berikutnya disebut inferensi.

Interteks

Interteks bermaksud sesuatu wacana itu bergantung kepada wacana yang lain. Hal ini beerti wacana-wacana lain juga memainkan peranan penting untuk membantu seseorang memahami sesuatu wacana yang sedang dibaca atau didengarinya dengan mudah. Dengan kata lain, kefahaman seseorang terhadap sesebuah wacana bergantung kepada pengetahuannya terhadap perkara yang dibaca atau didengarnya itu.

No comments:

Post a Comment